SHAH ALAM, 20 Jan: Kerajaan akan mempertimbang pelaksanaan mekanisme baharu bagi menggantikan inisiatif tol percuma bersempena musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kaedah itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Jelas beliau perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada tahun lalu.
“(Sebenarnya) kerajaan juga telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat.
“(Apa yang boleh saya nyatakan) perinciannya kita (kerajaan) akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini, hari ini.
Alexander Nanta berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pemberian tol percuma bersempa perayaan Tahun Baharu Cina yang akan bermula 29 Januari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan telah membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya pemberian tol percuma semasa sambutan perayaan. – TVS