PUTRAJAYA, 21 Jan: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mahu melaksanakan penggiliran kerja kepada penjawat awam yang berkhidmat di kaunter perkhidmatan lebih lima tahun.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN juga akan melaksanakannya langkah itu bagi terus meningkatkan mutu sistem penyampaian agensi di bawah kementerian.
Kata beliau perlaksanaan sistem itu di KDN akan melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tujuan utama pelaksanaan sudah semestinya untuk mempercepat atau memperbaiki sistem penyampaian, selain menangani isu integriti dan juga mampu untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan awam.
“Penggiliran kerja ini adalah sebahagian daripada sistem yang diamalkan untuk menunjukkan iklim kerja yang lebih kondusif bagi penjawat awam. Sekiranya mereka (penjawat awam) bertugas lima hingga tujuh tahun di tempat yang sama, sudah tentu iklim kerja itu menjadi tidak kondusif kalau mereka terus dikekalkan di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa dan Ekspo Asia 2025 (AISSE 25): Memperkukuh Keselamatan Negara dan Serantau di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya optimis perkhidmatan awam akan merasai perubahan pada akhir pelaksanaan sistem itu.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelaksanaan pusingan kerja itu akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh satu atau dua bulan kepada agensi dan jabatan berkaitan.
Beliau menjelaskan, pengenalan kepada sistem itu bertujuan memastikan penjawat awam diberi peluang menjalani tugas-tugas yang berbeza bagi membolehkan kemahiran dan pengetahuan mereka ditingkatkan. – TVS