PUTRAJAYA, 21 Jan: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) akan mengeluarkan resit rasmi dengan format baharu sebagai bukti terimaan bayaran cukai yang dibuat secara manual di kaunter Pusat Pengurusan Terimaan Hasil Kuala Lumpur (PPTHKL) bermula semalam.
HASiL memaklumkan ia susulan pindaan Pekeliling Perbendaharaan (PP) PS 4.1: Garis Panduan Permohonan Borang Kewangan Kerajaan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada Oktober 2024.
“Selaras dengan penggunaan e-Perkhidmatan secara mandatori bagi perkhidmatan yang telah disediakan oleh HASiL secara dalam talian mulai 1 Januari 2024, jenis bayaran cukai secara manual yang diterima di PPTHKL kini terhad,” mengikut kenyataan di sini hari ini.
HASiL memaklumkan jenis bayaran cukai secara manual yang diterima adalah bayaran kompaun dan cukai pendapatan dengan menggunakan kad debit dan kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia.
“Oleh itu, PPTHKL akan mengeluarkan resit rasmi asal dan salinan dalam format baharu kepada pembayar cukai bagi kedua-dua jenis terimaan bayaran,” kata kenyataan itu.
HASiL memaklumkan bayaran selain daripada yang tersenarai di atas, salinan resit rasmi juga boleh diperolehi menerusi kaedah-kaedah termasuk portal MyTax melalui ‘Perkhidmatan ezHasil’ > ByrHASiL.
Selain itu, portal perbankan internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan HASİL, kaunter Pos Malaysia dan bank komersial yang dilantik, mesin deposit tunai bank yang dilantik dan mesin juruwang automatik (ATM) bank yang dilantik.
Sebagai maklumat tambahan, HASiL memaklumkan salinan Resit Rasmi bagi bayaran Cukai Pendapatan dan Cukai Keuntungan Harta Tanah boleh didapatkan di bawah paparan e-Lejar, manakala salinan resit rasmi bagi potongan cukai bulanan dan cukai pegangan pula boleh diperoleh di bawah paparan penyata bayaran. -TVS