KUCHING, 21 Jan: Banjir kilat melanda Kampung Tringgus Rabak Rotan di daerah Bau dekat sini dan menjejaskan lapan kediaman setakat ini, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak malam ini.
Jurucakap sekretariat itu berkata panggilan berhubung insiden banjir itu diterima kira-kira pukul 7.05 malam dan pemantauan yang dibuat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kampung itu mendapati kesemua kediaman berkenaan terletak di kawasan rendah.
Menurutnya, hujan renyai-renyai masih berlaku di lokasi itu, namun trend air menunjukkan penurunan dengan tidak memerlukan penghuni rumah terlibat untuk berpindah.
Dalam pada itu, jumlah penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rumah Dayak di daerah Saratok meningkat kepada 90 orang sejak 4 petang tadi berbanding 89 orang yang dilaporkan pagi tadi.
PPS itu dibuka sejak Ahad lepas bagi menempatkan penduduk di Rumah Tembawai Kapok yang dilanda banjir. – TVS