MIRI, 20 Jan: Sambutan Tahun Baharu Cina semakin hampir, dan bagi masyarakat Tiong Hua, ia adalah saat yang dinanti-nantikan untuk berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai.
Rata-rata warga Miri yang ditemui oleh TVS telah membuat persiapan rapi bagi meraikan perayaan ini.
Bagi Kaunselor Majlis Bandaraya Miri, Ernest Goh, makan besar bersama seluruh ahli keluarga menjadi detik bermakna dan tradisi penting buat keluarganya.
“Saya fikir, untuk semua orang terutamanya masyarakat Cina, malam Tahun Baharu adalah waktu istimewa untuk berkumpul. Kami akan mengadakan makan malam bersama seluruh ahli keluarga. Ini adalah salah satu acara yang sangat kami titikberatkan.
“Semua orang akan kembali untuk makan malam reunion ini, terutamanya mereka yang tinggal jauh. Ia adalah saat untuk meraikan ikatan kekeluargaan. Ramai ibu bapa menantikan kepulangan anak-anak, dan bagi kanak-kanak pula, mereka akan gembira menerima angpao,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Amy Chong, berkata kenaikan harga barang tidak menghalang keluarganya untuk terus meraikan perayaan ini serta mengekalkan tradisi yang diwarisi.
“Kenaikan harga barang itu ada, tetapi ia tidak mengganggu tradisi. Gaya hidup perlu diteruskan, dan tradisi keluarga mesti dijaga,” katanya.
Memeriahkan lagi suasana, Miri Gong Xi Bazaar 2025 telah dibuka sejak Ahad lalu dengan melibatkan 300 tapak jualan.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi, perayaan Tahun Baharu Cina akan disambut dengan penuh meriah oleh masyarakat Tiong Hua dan seluruh warga bandar raya ini.