MIRI, 20 Jan: Inisiatif membuka kaunter pendaftaran Sarawak ID dan SPay Global bagi tujuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di kawasan luar bandar dapat membantu golongan kurang celik teknologi maklumat.
Salah seorang pemohon, Harry Mong yang bersyukur dengan pembukaan kaunter ini berkata, orang ramai dapat merujuk kepada pihak yang berkenaan apa jua kesulitan dalam mendaftar SPay Global.
“Pembukaan kaunter sebegini dapat menolong terutama orang tua dan yang tak celik teknologi maklumat,” katanya kepada TVS di pusat pendaftaran Sarawak ID dan SPay Global di Dewan Terbuka Sepupok, Niah, semalam.
Edwin Yahaya, seorang lagi pemohon SKAS turut mempunyai pendapat yang sama.
Katanya, pendaftaran di kaunter fizikal ini tidak memakan masa yang lama.
“Tidak semua orang, terutama yang dah berumur boleh menggunakan telefon pintar,” katanya.
Pusat pendaftaran yang dibuka seawal jam 8:00 pagi telah menerima kunjungan daripada penduduk sekitar.
Pusat Pendaftaran Sarawak ID dan Spay Global akan dibuka di beberapa lokasi seperti Arena Sibuti, Bekenu; Dewan Masyarakat Beluru; Dewan SJKC Kee Tee; Dewan Serbaguna Kampung Long Bedian; Dewan Suarah Baram, Marudi; Dewan Serbaguna Kampung Sungai Melinau Mulu; Dewan Suarah Miri. – TVS