KUCHING, 20 Jan: Bantuan kewangan yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) dijangka akan banyak membantu aktiviti kesatuan sekerja dan meningkatkan lagi produktiviti pekerja.
Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Zaidi Nasar, berkata kenaikan peruntukan kepada KESUMA sebanyak RM10 juta bagi tahun 2025 untuk pelaksanaan program ini membolehkan pihaknya menyediakan latihan dan program yang bermanfaat kepada ahli-ahli kesatuan sekerja.
“MTUC Sarawak menyambut baik usaha dan inisiatif serius Kerajaan dan KESUMA, khususnya dalam membantu kesatuan-kesatuan sekerja di Malaysia untuk menjadi teraju utama pembangunan modal insan dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata, pembelajaran secara berterusan yang diberikan kepada kesatuan sekerja akan membuka peluang kepada pekerja untuk meningkatkan jati diri dan komitmen terhadap nilai kerja mereka.
“Secara tidak langsung, usaha ini akan memperkukuh tadbir urus kesatuan sekerja yang lebih matang dan progresif.
“Selain itu, program ini juga berpotensi melahirkan pemimpin dalam kalangan kesatuan sekerja yang berilmu tinggi, sekali gus menjadi teras kepada kecemerlangan sesebuah kesatuan sekerja,” ujarnya.
Beliau turut memuji penglibatan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, yang aktif turun padang untuk mendengar permasalahan pekerja, menyifatkan pendekatan itu sebagai usaha yang sangat dihargai oleh kaum pekerja.
“Konsep ini merupakan inisiatif terbaik untuk mendekati warga pekerja di negara yang kita cintai,” jelasnya.