KUCHING, 20 Jan: Pemberian pingat penghargaan dan bantuan kewangan sekali bayar kepada hampir 2,000 bekas polis dan tentera yang pernah berkhidmat di Sarawak masih di peringkat perbincangan dengan Kerajaan Sarawak.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Dato Dr Mokhtar Omar, berkata cadangan ini merupakan antara perkara yang diutarakan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semasa kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat, mereka yang layak akan menerima bantuan tersebut, kemungkinan sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat itu.
Dalam pertemuan yang turut disertai oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, turut dibincangkan ialah isu kebajikan ahli, terutamanya dari segi penyediaan perumahan kepada bekas polis.
Menurut Mokhtar, kunjungan hormat tersebut juga bertujuan membincangkan cadangan untuk mengiktiraf sumbangan bekas polis melalui anugerah dan penghargaan khas di peringkat negeri Sarawak, seperti Pingat Jasa Pejuang Sarawak (PJPS).
“Kami banyak memaklumkan berkenaan hampir 10,000 ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia Sarawak, termasuk mereka dari era zaman darurat dahulu, yang hingga ke hari ini masih memerlukan bantuan kebajikan kerana tidak mempunyai rumah, termasuklah mereka yang patut diberi penghargaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru bekas-bekas polis yang belum menjadi ahli agar mempercepatkan permohonan keahlian bagi memastikan mereka dapat menerima manfaat dan bantuan yang disediakan.