GUANGZHOU, 20 Jan: Fan Weiqiu, yang disabitkan kesalahan kerana menyebabkan ramai terkorban selepas merempuh mangsa dengan keretanya di sebuah pusat sukan pada November tahun lepas di bandar Zhuhai, Wilayah Guangdong, selatan China, telah menjalani hukuman mati pada Isnin, menurut kenyataan mahkamah, lapor Xinhua.
Hukuman itu dilaksanakan oleh Mahkamah Pertengahan Rakyat Zhuhai selepas hukuman mati itu diluluskan oleh Mahkamah Agung Rakyat. Prosedur berkenaan diselia oleh pendakwa raya dari pihak pendakwaan tempatan di Zhuhai.
Fan disabitkan dengan jenayah membahayakan keselamatan awam melalui cara berbahaya pada Disember 2024. Beliau juga dilucutkan hak politiknya seumur hidup. – TVS