PUTRAJAYA, 20 Jan: Malaysia berhasrat untuk meletakkan ASEAN sebagai peneraju dalam pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh aspek keselamatan menerusi pembangunan serantau dan global.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ke arah itu negara-negara Asean perlu memanfaatkan penggunaan teknologi canggih kerana kemajuan teknologi mampu memperkukuh keselamatan negara dan rantau ini.
“Melalui kerjasama, kita boleh memanfaatkan teknologi bukan sahaja untuk menjaga sempadan kita, tetapi untuk mengukuhkan kedudukan ASEAN di pentas global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia dan Expo 2025 (AISSE 2025) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata faktor keselamatan yang utuh akan memupuk keyakinan pelabur terhadap ASEAN dan akan merancakkan aktiviti ekonomi rantau.
Kata beliau, kemakmuran ekonomi yang dicapai membawa kepada pelaburan yang lebih baik dalam aspek sumber keselamatan dan kemudahan negara.
“Di Malaysia, kita telah menyaksikan bagaimana langkah keselamatan yang dipertingkat memangkin pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kepercayaan orang ramai,” katanya. – TVS