Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Danglau hari ini. Foto Bernama

KPM terus fokus tangani isu keciciran pelajar – Fadhlina

ByBernama

SIK, 20 Jan: Isu keciciran pelajar akan terus menjadi fokus utama Kementerian Pendidikan (KPM) sepanjang tahun ini, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Sehubungan itu, beliau berkata pengurusan tertinggi kementerian akan melawat 143 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara bagi meneliti setiap isu dan cabaran yang dihadapi berkaitan isu berkenaan.

“Apa yang paling penting adalah memastikan isu kehadiran ke sekolah mesti ditangani terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja rasmi ke Sekolah Kebangsaan Danglau dekat sini hari ini.

Beliau berkata enrolmen sekolah rendah kini sekitar 99 peratus dan berada pada tahap baik susulan wujudnya dasar pendidikan wajib sekolah rendah.

“Enrolmen sekolah menengah pada waktu ini sekitar 93 peratus dan ia perlu ditingkatkan bagi mencapai enrolmen sejagat iaitu 95 peratus.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM akan melihat bagaimana 18 jenis bantuan kewangan yang disediakan untuk para pelajar dapat membantu menangani isu keciciran.

“Kita ada 18 bantuan kewangan bagi membantu pelajar B40 yang perlu disegerakan selain Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang telah diserahkan.

“Saya fikir PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu melihat bagaimana bantuan ini dapat membantu mengelakkan anak-anak daripada keciciran,” katanya.

Berkenaan lawatan ke Sik hari ini, beliau memuji inisiatif PPD daerah itu  yang memulakan papan pemuka intervensi yang dilihat efektif dalam mengesan isu keciciran pelajar daripada Tingkatan Satu lagi.

“Bagi 2025 kita mulakan tumpuan kepada PPD dan lawatan pertama saya ke PPD Sik. Banyak potensi dan bakat dapat kita lihat, khususnya perkembangan yang baik dari segi akademik serta pembangunan anak murid di daerah ini.

“Menerusi lawatan ini, kita beri tumpuan kepada beberapa aspek seperti kesenjangan yang berlaku dalam daerah ini seperti keciciran. Begitu juga dengan kesenjangan lain termasuk sosioekonomi kerana saya difahamkan kumpulan B40 sangat ramai,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata usaha mengatasi isu berkaitan penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M) akan turut menjadi agenda KPM tahun ini.

“Saya nyatakan kepada PPD antara perkara yang tiada kompromi, maksudnya mesti ada komitmen yang tinggi daripada JPN dan PPD ialah berkaitan literasi dan numerasi,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM100,000 untuk kegunaan sekolah termasuk kos penyelenggaraan bagi memastikan keunikan sekolah yang masih menggunakan bangunan struktur kayu sejak tahun 1975 itu terus terpelihara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan