WASHINGTON, 20 Jan: Menteri luar Jepun dan Australia pada Ahad bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan India di bawah kumpulan Quad bagi memastikan kestabilan di rantau Indo-Pasifik, lapor Kyodo News.
Pertemuan antara Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya dan rakan sejawatnya dari Australia Penny Wong berlangsung di Washington sehari sebelum Presiden terpilih AS Donald Trump, kembali ke Rumah Putih.
Iwaya berkata bahawa keperluan untuk Jepun dan Australia memainkan peranan utama dalam merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka kini lebih penting berbanding sebelumnya, dengan kerjasama erat bersama AS dan rakan kongsi lain, menurut Kementerian Luar Jepun.
Kedua-dua menteri bersetuju bahawa persekitaran keselamatan di rantau ini semakin mencabar dan Tokyo serta Canberra akan memperkukuh kerjasama dengan negara-negara yang sehaluan.
Satu mesyuarat peringkat diplomat tertinggi antara empat negara itu dijangka berlangsung pada Selasa, selepas calon Setiausaha Negara pilihan Trump, Marco Rubio mendapat pengesahan Senat, menurut pegawai yang terlibat dalam perancangan itu.
Iwaya dan Wong turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam isu-isu ekonomi serta bidang lain seperti keselamatan siber dan pertukaran antara rakyat, menurut kementerian.
Dalam pada itu, Iwaya turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar yang dijemput oleh pasukan Trump untuk menghadiri majlis angkat sumpah beliau bersama para diplomat tertinggi Jepun dan Australia.
Semasa pertemuan itu, Iwaya berkata bahawa Jepun dan India berkongsi nilai-nilai asas serta mempunyai “tanggungjawab besar untuk keamanan dan kemakmuran masyarakat antarabangsa,” menurut kementerian Jepun.
Kedua-dua menteri turut membincangkan usaha berterusan di bawah Quad dan bersetuju menjadikan tahun bermula April sebagai tempoh kerjasama dalam sains dan teknologi, bersempena ulang tahun ke-40 perkongsian Jepun-India dalam bidang itu. -TVS