KUALA LUMPUR, 20 Jan: Perlaksanaan Perjanjian Genjata Senjata di Semenanjung Gaza dilihat sebagai tempoh sesuai untuk memulakan proses penghantaran pulang warga Palestin yang dirawat di Malaysia sebelum ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata ketika ini Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memuktamadkan proses berkenaan dengan kerjasama Kerajaan Mesir dan Palestin.
Kata beliau Malaysia sebelum ini mengambil tanggungjawab memberi rawatan kepada 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel.
“Jadi kita dalam proses memuktamadkan penghantaran pulang mereka dan sebenarnya kita mengambil tanggungjawab di kala mereka (rakyat Palestin) dalam keadaan peperangan untuk pastikan keadaan kesihatan mereka lebih.
“Oleh kerana kita tahu wujud genjatan senjata, ini mungkin masa paling sesuai untuk memberi ruang kepada kembali ke bumi Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Hi Tea Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.
Sementara itu Adly menegaskan Malaysia menerusi MINDEF akan terus memberi sokongan kepada rakyat Palestin.
“Kita akan melihat aspek-aspek lain yang boleh kita salurkan bantuan terutamanya kepada warga Palestin yang berada di Gaza,” katanya.
Perjanjian genjatan senjata di Gaza mula berkuat kuasa pada 11.15 pagi waktu tempatan semalam selepas lewat beberapa jam ekoran tuduhan Israel terhadap Hamas yang dikatakan melambatkan senarai tawanan yang bakal dibebaskan.
Sejak Oktober 2023, hampir 47,000 orang majoriti wanita dan kanak – kanak di Gaza terkorban akibat serangan berterusan oleh Israel.
Sementara itu Adly menambah, operasi penghantaran pulang rakyat Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit ATM akan dilakukan sejurus Malaysia mendapat kebenaran Mesir dan pihak berkuasa Palestin. -TVS.