KUCHING, 20 Jan: Satu dana amanah perlu diwujudkan untuk memastikan pemilikan harta pusaka masyarakat Melayu di Sarawak terus terpelihara dan diuruskan mengikut sistem faraid.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan langkah ini dapat mengekang penjualan harta pusaka kepada pihak luar, sekali gus menjaga kepentingan jangka panjang masyarakat Melayu di negeri ini.
“Badan amanah orang Melayu ini boleh membeli dan harta tersebut akan diuruskan oleh masyarakat Melayu sendiri, dengan membeli mengikut harga pasaran. Saya beri contoh Hotel Arif, yang mana keluarganya mesti membahagikan harta mengikut hukum syarak dan kita terpaksa mencari orang yang boleh membeli Hotel Arif.
“Kita bersyukur kerana Badan Amanah Satok mempunyai dana untuk membelikan hotel tersebut, jadi ia tidak terlepas kepada orang lain dan masih dalam pegangan masyarakat yang tinggal di sini, ini bermakna tidak terhakis.
“Tetapi yang penting, mesti ada pengorbanan dalam kalangan masyarakat kita untuk membangunkan kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Adat Resam Masyarakat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam, di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari turut menegaskan, masyarakat Melayu perlu bekerjasama dengan masyarakat bukan Melayu sebagai rakan ekuiti, disamping memperkukuhkan kekuatan kewangan mereka melalui pelaburan dalam badan amanah.
“Sebab itu, kita mesti ada kekuatan kewangan menerusi badan amanah dan juga orang Melayu, mereka perlu bersama-sama berkorban sedikit melabur dalam badan amanah.
“Jika kita hendak menjual dengan orang bukan Melayu, kita kongsi ekuiti dan mengambil bahagian. Kalau kedai, kita ada ekuiti, tidaklah terus terlepas dan dengan cara itu barulah kita dapat mempertahankan adat kita, iaitu adat kampung,” ujarnya.
Tambah Abang Johari, langkah ini diharap dapat menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Melayu di Sarawak untuk jangka panjang. – TVS