KUCHING, 20 Jan: Darul Kurnia yang terletak di kawasan Sekolah Menengah Chung Hua Nombor 4 di Jalan Haji Taha di sini bakal dipulihara sebagai bangunan bersejarah dan muzium.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata proses pemuliharaan itu dilakukan selepas ia diserahkan kepada Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah yang amat penting kepada rakyat Sarawak, khususnya berkaitan dengan Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak suatu ketika dahulu.
“Alhamdulillah, bangunan itu telah diserah balik kepada Kerajaan Sarawak dan kita akan siapkan SJK Chung Hua No. 4 di kawasan dekat Stutong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Adat Resam Masyarakat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam di sini, hari ini.
Menurutnya, kawasan persekitaran Sekolah Menengah Chung Hua No. 4 yang kecil menyebabkan kekangan melakukan aktiviti kokurikulum dan sukan.
“Saya kata mengapa tidak kita melakukan pertukaran sahaja? Kita berikan sebidang tanah untuk mendirikan sekolah dan sekolah itu akan berpindah ke sana (Stutong) dan kawasan mereka diambil oleh kerajaan negeri,” ujarnya.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak memperuntukkan tanah seluas lapan ekar dan dana berjumlah RM20 juta kepada sekolah itu bagi pembinaan bangunan baharu sekolah itu di Stutong. – TVS