KOTA BHARU, 20 Jan: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sedang membangunkan aplikasi bagi meningkatkan keberkesanan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang dijangka siap Mac ini.
Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud berkata aplikasi itu juga dapat membantu memperkukuh keselamatan serta ketahanan komuniti di seluruh negara.
“Pembangunan aplikasi ini menggunakan teknologi baharu yang membolehkan anggota SRS memuat naik maklumat menerusi telefon pintar semasa melakukan rondaan.
“Dengan adanya aplikasi ini, JPNIN dapat memantau aktiviti rondaan, jadual kerja, statistik dan pergerakan SRS di seluruh negara selain turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada pemberita selepas Program Jom Ronda SRS ‘1 Keluarga, 1 SRS’ di sini semalam.
Program yang berlangsung di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Penambang itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Thamby.
Sementara itu, Che Roslan berkata JPNIN turut menggunakan kaedah ‘ribat’ moden bagi menjaga keselamatan iaitu konsep memelihara sempadan daripada ancaman musuh menurut Islam.
“Walaupun ‘ribat’ pada zaman dahulu melibatkan pertahanan fizikal di sempadan negara, pada hari ini kita boleh mengaplikasikan konsep ‘ribat’ semasa menjaga keselamatan komuniti daripada ancaman seperti jenayah dan ketidakharmonian.
“Bagi ‘ribat’ komuniti, SRS adalah contoh bagaimana kita bersama-sama memelihara keselamatan komuniti dengan komitmen dan keteguhan,” katanya.
Beliau perkara itu sama seperti pejuang ‘ribat’ zaman dahulu, dengan sukarelawan SRS berperanan menjaga komuniti daripada ancaman yang boleh merosakkan kesejahteraan masyarakat. -TVS