KUCHING, 19 Jan: Kerajaan Sarawak bakal menubuhkan institusi khas berkaitan dengan tenaga boleh diperbaharui, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, institusi berkenaan akan dibangunkan di Kolej Universiti i-CATS melalui pengwujudan fakulti yang mengkhususkan jurusan berkaitan dengan tenaga di Sarawak.
“Kita boleh bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan juga PETROS yang mana pengajiannya di akan dilaksanakan di i-CATS.
“Kenapa saya pilih i-CATS? Ini kerana i-CATS adalah kepunyaan Sarawak dan yang kedua, penuntut kita yang layak untuk memasuki fakulti itu akan diberikan pendidikan percuma di universiti tersebut. Maka akan lahirlah saintis dan juga pakar kita di dalam perihal tenaga termasuklah gas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2025, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, Sarawak kini juga sudah mempunyai teknologi baharu melibatkan tenaga boleh diperbaharui yang lain seperti gas sintetik.
“Ia (gas sintetik) merupakan hidrogen yang dicampur dengan karbon. Karbon ini daripada udara. Karbon yang ditangkap itu akan mengeluarkan gas sintetik dan seterusnya gas sintetik itulah yang akan menjadi bahan untuk mengeluarkan tenaga,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abang Johari turut menyeru kepada seluruh rakyat Sarawak untuk bersama berjuang serta bersatu padu dalam memanfaatkan anugerah semula jadi yang diberikan Tuhan bagi memastikan Sarawak sebagai negeri yang maju dan makmur menjelang 2030. – TVS