KUCHING, 18 Jan: Kawasan Open Air Market Kuching bakal dinaik taraf sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan di kawasan tersebut.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman berkata, pelaksanaan penambahbaikan di kawasan itu merangkumi penyediaan kemudahan yang lebih baik bagi peniaga dan pengunjung.
“Jadi adalah menjadi harapan kami (DBKU) untuk menjadikan kawasan Open Air Market sebagai salah satu kawasan yang dinaik taraf sempena kerja menaik taraf yang dijalankan di tebingan sungai, kawasan yang harus diberikan tumpuan untuk dilaksanakan dan dimajukan,” katanya ketika ditemui TVS selepas Pelancaran Lampu Hiasan Tower Open Air Market sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di sini, malam tadi.
Ujarnya, DBKU juga telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk penambahbaikan itu.
Beliau menambah jika peruntukan itu diluluskan, maka kajian akan dijalankan dan perancangan dengan bantuan perunding bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Dengan perundingan ini, kawasan ini akan dapat dibentuk dan diselaraskan sebagaimana yang terdapat di tebingan sungai ini dan Stesen Hikmah Exchange yang akan berfungsi sebagai stesen utama Sistem Transit Aliran Autonomi (ART). Semua ini akan saling melengkapi,” katanya lagi.
Tambahnya, walaupun Open Air Market adalah kawasan warisan, pihak DBKU akan berusaha untuk mengekalkan elemen warisan kawasan ini tanpa melakukan perubahan drastik seperti pembinaan bangunan bertingkat. – TVS