KUCHING, 19 Jan: Pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu Sarawak di Tanjung Embang dalam Bahagian Samarahan, bakal melonjakkan lagi ekonomi penduduk setempat dan memberi manfaat kepada kawasan di sekitarnya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lokasi lapangan terbang baharu yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu berhampiran dengan pembinaan pelabuhan laut dalam baharu dan bersempadanan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya.
“Saya percaya seperti apa yang dimaklumkan Premier, hasil daripada pembangunan besar-besaran seperti ini, iaitu lebih kurang RM100 bilion, saya percaya sama ada Kuching, Samarahan mahupun Serian, semuanya akan mendapat manfaat.
“Jangka masanya tidak begitu jauh kerana sekarang ini kita akan mempunyai pesawat sendiri pada tahun ini. Perancangan untuk membina pelabuhan besar dan lapangan terbang antarabangsa baharu yang akan dibuat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ini saya percaya dalam keadaan ‘fast track’.
“Ini sudah pasti akan melonjakkan lagi sedikit sebanyak pembangunan infrastruktur Bandar Raya Kuching dan juga ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2025, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Jelas Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, beliau melihat lokasi lapangan terbang baharu itu yang berada di luar kawasan Kuching tidak akan menjadi masalah besar kepada penduduk Sarawak.
“Saya tidak melihat lokasinya di luar Kuching kerana ia masih berada dalam kawasan lingkaran Kuching, iaitu di hujung sempadan bandar raya Kuching. Hanya tempat itu masih lagi dalam kawasan hutan namun tetapi ia masih dekat.
“Jika jambatan dan sebagainya dibina kelak dari BCCK, ia akan menjadi amat dekat sekali dengan bandar raya Kuching. Tetapi sudah pasti hasil daripada pembangunan besar-besaran seperti ini akan memastikan ramai yang akan dapat manfaat termasuklah penduduk tempatan,” ujarnya.
Menurutnya, beliau turut teruja dan terharu dengan pengumuman Abang Johari mengenai lokasi lapangan terbang baharu itu kerana Tanjung Embang bersebelahan dengan kawasan semenanjung Beliong, di Kampung Beliong yang juga dalam kawasan DUN Asajaya.
Terdahulu, Abang Johari mengumumkan Tanjung Embang dipilih sebagai lokasi untuk pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu Sarawak, setelah mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk keperluan pesawat untuk mendarat dalam ruang udara Malaysia. – TVS