MIRI, 19 Jan: Tarian singa kini tidak lagi terhad kepada satu bangsa atau agama, sebaliknya terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami seni tradisional ini, kata Ketua Jurulatih Persatuan Wushu Miri, Tiong Ching Chiong.
Tiong, 60, yang mempunyai pengalaman selama 36 tahun berkata, pihaknya mengalu-alukan generasi muda, termasuk bumiputera untuk menyertai latihan tarian singa dan mereka diajar secara percuma.
“Kami tidak peduli apa latar belakang agama mereka. Jika mereka ingin belajar, kami akan ajar dengan ikhlas supaya promosi tarian singa ini menjadi lebih standard dan menarik.
“Ini membolehkan mereka tampil dengan persembahan yang lebih hebat semasa Tahun Baharu Cina atau majlis besar lain seperti pembukaan kedai baharu atau rumah,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Beliau berkata, tarian singa bukan sekadar tradisi, tetapi juga telah diiktiraf sebagai sukan antarabangsa oleh kerajaan Malaysia, walaupun belum dimasukkan dalam SUKMA.
“Sekarang tarian singa dianggap sebagai sukan dan telah mencapai tahap pertandingan antarabangsa. Kami ingin membawa lebih ramai orang mengenali seni ini sebagai satu bentuk tradisi Cina yang terbuka kepada semua,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar tarian singa dapat dimasukkan dalam acara SUKMA pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada acara sukan antarabangsa.
“Kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja. Harapan kami adalah tarian singa ini dapat dihargai dan terus kekal sebagai seni tradisional yang membanggakan,” katanya.
Dengan komitmen Persatuan Wushu Miri, Tiong optimis bahawa tarian singa akan terus berkembang dan dihormati, bukan hanya sebagai tradisi tetapi juga sebagai sukan yang menyatukan semua lapisan masyarakat. – TVS