KUCHING, 19 Jan: Isu pembahagian 1/3 Kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kini masih dalam penilaian oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BAHYU).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) sudah dinyatakan bahawa perbincangan telah dibuat mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak agar pembahagian kerusi Parlimen disesuaikan dengan sejarah penubuhan Malaysia menerusi konteks MA63.
“Kami telah menyatakan kehendak Sabah dan Sarawak mengikut MA63 serta sejarah penubuhan Malaysia dahulu. Pada waktu itu, jika mengambil kira Singapura, Sabah dan Sarawak menerima 35 peratus daripada kerusi Parlimen.
“Oleh kerana perkara ini masih dalam penilaian mereka, sepatutnya ada perbincangan antara pihak mereka dan peguam, iaitu penasihat undang-undang Sabah dan Sarawak serta persekutuan. Kami akan menunggu laporan terkini mengenai hasil yang disediakan oleh SPR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas / OKU Kawasan Sungai Tengah Matang sempena Tahun Baharu Cina 2025 anjuran bersama Pusat Khidmat P194 Petra Jaya & SUPP Matang di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan dari pihak SPR mengenai pembahagian kerusi bagi Sabah dan Sarawak.
Untuk rekod, ketika ini Sabah dan Sarawak secara keseluruhan mempunyai 56 kerusi Parlimen yang merangkumi 31 untuk Sarawak manakala 25 untuk Sabah yang menjadikan hanya 25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, berbanding 74 kerusi yang sepatutnya ada jika mengambil kira satu pertiga seperti dijanjikan melalui MA63 pada 62 tahun dahulu.
Bagi melengkapkan kuota satu pertiga itu, Sabah dan Sarawak memerlukan tambahan 22 buah kerusi iaitu 35 peratus berpandukan jumlah kerusi Parlimen ketika ini. – TVS