PUTRAJAYA, 19 Jan: Pegawai dan anggota polis yang dinaikkan pangkat perlu mengekalkan indeks jisim badan (BMI) antara 28 hingga 30.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata BMI merupakan antara syarat proses pengesahan kenaikan pangkat bagi memastikan kecergasan dan disiplin menjadi keutamaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis berharap syarat itu akan memberikan persaingan positif untuk mencapai pengesahan kenaikan pangkat anggota.
“Kecergasan fizikal bukan hanya cerminan kekuatan, tetapi juga bukti kepada disiplin yang diperlukan oleh setiap pegawai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir meninjau persiapan akhir Asia International Security Summit & Expo (AISSE2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pegawai serta anggota polis perlu mengekalkan BMI kurang daripada 28 untuk melayakkan mereka dinaikkan pangkat.
Saifuddin berkata syarat itu juga telah diterima baik oleh anggota PDRM.
“BMI menjadi antara syarat itu kerana sebagai pasukan penguasa undang-undang terbesar, kercergasan dan disiplin adalah menjadi keutamaan polis di samping kepakaran profesional lain,” katanya. – TVS