KUALA LUMPUR, 18 Jan: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menzalimi bakal haji melalui tawaran haji musim 2025M/1446H.
Menurut kenyataan media TH hari ini, tuduhan di media sosial adalah tidak benar sama sekali kerana TH telah menerima dan mengkategorikan semula lebih 700 golongan M40 seperti suri rumah, pelajar dan warga emas kepada golongan B40 setelah menerima rayuan berserta bukti mereka adalah dari golongan tersebut.
“Untuk makluman, TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20 sejak tahun 2022.
“Bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah adalah termasuk dalam Kumpulan B40,” menurut kenyataan itu.
Tambah TH, bagi mereka yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan adalah termasuk dalam kumpulang T20, manakala bakal jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40.
Namun, TH telah dan masih menerima permohonan rayuan menukar kategori tawaran.
Oleh itu, TH memandang serius tuduhan-tuduhan tidak benar yang memburukkan reputasi dan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. – TVS