KUCHING, 18 Jan: Sarawak bercadang memperkenalkan pengajian jurusan Pengurusan Sains Sukan di institusi pengajian tinggi miliknya bagi pembangunan sektor sukan di wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bidang itu juga patut diperkenalkan di peringkat sekolah menengah, terutamanya di sekolah sukan.
“Kita kini dalam perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Apabila atlet dilatih dan dibimbing dari usia muda, mereka boleh memilih untuk melanjutkan pengajian dalam sains sukan di peringkat universiti,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Borneo Cricket Ground dan melancarkan Kejohanan Kriket Wanita Bawah-19 T20 Piala Dunia Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, jurusan tersebut dicadang untuk diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak seperti Universiti Kolej i-CATS, Universiti Swinburne dan Universiti Curtin di Miri.
“Pengenalan kursus ini di universiti Swinburne misalnya juga boleh memupuk pertukaran budaya dan sukan dalam kalangan pelajar,” kata beliau.
Dalam masa yang sama, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak juga komited untuk menyokong perkembangan sukan di wilayah ini dengan pembangunan fasiliti sukan bertaraf antarabangsa.
“Sarawak mempunyai bakat dan potensi besar dalam bidang sukan seperti Bala Ditta dan Dato Pandelela Rinong.
“Justeru, kita mesti mempunyai kemudahan yang sesuai untuk melatih atlet kita agar memenuhi standard antarabangsa. Kita mahu kanak-kanak Sarawak dan Malaysia cemerlang dalam bidang sukan,” jelas beliau.-TVS