KUALA LUMPUR, 18 Jan: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah berhubung dengan Microsoft bagi memulakan proses pelesenan Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) terhadap laman sosial, LinkedIn.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia susulan LinkeIdn melepasi syarat wajib pelesenan iaitu memiliki lebih lapan juta pengguna di Malaysia.
“LinkeIdn mempunyai pengguna seramai lapan juta dengan mereka mendedahkan laporan itu untuk suku pertama 2025.
“SKMM sudah menghubungi Microsoft yang merupakan pemilik LinkedIn untuk kita mulakan proses permohonan lesen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Future Health for All (Fh4a) di Dewan Merbau IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun dan Ketua Operasi ProtecthHealth Corporation, Wan Mazuki Wan Hassan.
(FH4A) yang diadakan di 20 lokasi terpilih di enam negeri secara rasminya bermula hari ini
Program anjuran SKMM itu bertujuan mengaplikasikan teknologi terkini dan ketersambungan 5G untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan META sedang berada fasa akhir untuk memperoleh kelulusan, dengan SKMM masih menunggu penghantaran baki dua dokumen bagi melengkapkan permohonan lesen itu.
Bermula 1 Januari tahun ini, Malaysia telah mula mengimplementasi keperluan lesen untuk operasi media sosial bagi penyedia perkhidmatan dengan lebih lapan juta pengguna dalam negara bagi memastikan platform lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan.- TVS