MIRI, 18 Jan: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Zon Utara turut mengusulkan dan memberi sokongan penuh supaya jawatan Presiden PBB yang disandang Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dikekalkan tanpa dipertandingkan.
Presiden Kanan PBB Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ahli PBB Zon Utara dengan penuh tanggungjawab dan semangat perpaduan mengusulkan resolusi tersebut.
“Yang pertama, memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari yang juga Premier Sarawak untuk kekal sebagai Presiden.
“Mencadangkan agar kedua-dua Timbalan Presiden, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan, kita juga mencadangkan agar kedua-dua jawatan Naib Presiden Kanan PBB Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan rumusan usul yang diterima daripada 18 Cawangan PBB di Zon Utara pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Utara di sini, hari ini.
Seterusnya, ahli parti juga memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memastikan hak-hak istimewa Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, MA63 dan Laporan IGC dipatuhi, iaitu penambahan bilangan kerusi bagi Sarawak dan Sabah kepada 35 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen Malaysia dan Hak Sarawak ke atas Pelantar Benuanya dihormati oleh semua pihak termasuk syarikat-syarikat yang beroperasi di Sarawak.
Selain itu, ahli parti juga mahu memastikan bahawa status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepimpinan GPS dan Kerajaan Sarawak untuk kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan yang lestari serta memperkukuh perpaduan antara pelbagai etnik, agama dan budaya, demi memastikan masyarakat hidup aman, damai dan harmoni.
“Menyokong penuh rancangan kerajaan untuk menjadikan kawasan Utara Sarawak sebagai satu lagi kawasan jelapang padi, pusat penternakan dan akuakultur.
“Penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport hasil pertanian menjelang tahun 2030,” ujarnya lagi.
Resolusi yang ketujuh pula ialah menggesa Kerajaan Sarawak dan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan di kawasan Utara, antaranya, pembinaan Jalan Raya Pantai Utara (Northern Coastal Highway), Jalan Lintas Sabah-Sarawak termasuk menaik taraf jalan-jalan balak dan jambatan di pedalaman; membina Lapangan Terbang Lawas dan menaik taraf Lapangan Terbang Miri, Limbang dan di luar bandar; menaik taraf pelabuhan Miri; mempercepatkan pembaikan, menaik taraf dan membina semula sekolah-sekolah. Klinik-klinik, dan kemudahan berkaitan yang daif terutamanya di kawasan luar bandar; memperluaskan liputan telekomunikasi, bekalan air bersih dan bekalan elektrik. Ini akan menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan kawasan Utara Sarawak.
Manakala resolusi kelapan pula adalah menjadikan kawasan Utara sebagai hub pelancongan dengan memanfaatkan pengiktirafan Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah sebagai tapak warisan UNESCO, kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna termasuk Usun Apau, Gunung Buda dan Gunung Murud.
Kesembilan, mendengar rintihan rakyat mengenai ketidakmampuan memiliki rumah, maka kita menggesa kerajaan untuk menambah projek perumahan Spektra dan mampu milik serta menambah peruntukan bagi pinjaman pembinaan rumah panjang.
Kesepuluh, mengekalkan kehidupan beragama yang harmoni dengan menyokong pemerkasaan peranan institusi keagamaan seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan UNIFOR.
Resolusi ke-11 ialah mempercepatkan pengambilalihan Affin Bank dan MASWings, dan resolusi yang terakhir iaitu ke-12 pula ialah mencadangkan agar kerajaan terus memperkukuhkan kawasan utara, sebagai hab pengeluaran minyak dan gas Sarawak dan pembangunan Industri hiliran. – TVS