MIRI, 18 Jan: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) menjadi tunjang kekuatan dan ejen perubahan masyarakat di Sarawak, kata Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, sekiranya tidak ada PBB yang menjadi tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) politik negara tidak akan stabil.
“Sekarang kita juga menyumbang kepada kestabilan politik negara. Untuk memperkasakan Sarawak dan memastikan Sarawak terus membangun, PBB mesti kuat dan kukuh kerana ini adalah tiang kekuatan kita. Bukan sahaja kepada kaum bumiputera tetapi juga untuk masyarakat keseluruhan demi Sarawak yang dicintai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Zon Utara di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tegas beliau lagi, nilai kesetiaan adalah penting dalam sesebuah parti untuk memastikan ia terus kekal di masa akan datang. -TVS