KUALA LUMPUR, 18 Jan: Syarikat tekstil terkemuka, Jakel membuat pelaburan sebanyak RM60 juta untuk pembukaan dua cawangan baharu di Sarawak tahun depan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, kedua – dua cawangan itu akan dibuka di Kuching dan Miri.
Jelas beliau, hasrat syarikat itu untuk beroperasi di wilayah berkenaan juga telah disampaikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada tahun lepas.
“Setakat ini kita mempunyai 26 cawangan Jakel di seluruh Malaysia dan (sebenarnya) kita sudah pergi Sarawak tahun lepas untuk berjumpa dengan Premier Sarawak (bagi menyatakan hasrat).
“Kita telah melihat kawasan di Kuching dan Miri, dan ketika kita masih menunggu pemaju untuk siapkan bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 di Jakel Mall di sini hari ini.
Turut diperkenalkan 10 duta yang terdiri daripada barisan artis tempatan dan pempengaruh media sosial bagi mempromosikan pakaian keluaran syarikat itu sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Antara yang terlibat termasuk pelakon Fattah Amin, Anzalna Nasir dan keluarga, pengacara Nabil dan keluarga, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlien, Amira Othman dan kumpulan Senario.
Mengulas lanjut mengenai operasi di Sarawak kelak, Mohamed Faroz berkata, syarikat dijangka akan membelanjakan sebanyak RM30 juta untuk operasi setiap cawangan.
Sementara itu beliau memaklumkan, Jakel menyasarkan peningkatan jualan Aidilfitri sebanyak 20 hingga 30 peratus pada kempen kali ini berbanding yang diperolehi pada 2024.
“ Kita berbelanja besar mencecah RM10 juta untuk promosi termasuk mendapatkan barisan artis popular dan pempengaruh yang akan mempromosikan kepelbagaian pakaian,” katanya. – TVS.