Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lima adik beradik bergambar bersama ketika menyiapkan tempahan kuih kapit ketika tinjauan Bernama sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan Pasar Simee baru-baru ini. Foto Bernama

Dihasilkan setahun sekali kuih kapit tradisional lima beradik sering dinantikan pelanggan

ByBernama

IPOH, 18 Jan: Hanya dihasilkan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, kuih tradisional kapit yang diusahakan lima beradik di sini senantiasa dinanti-nantikan pelanggan setia mereka setiap tahun.

Istimewanya kuih kapit dihasilkan Low Siew Lee, 65, Low Sow Yoong, 66, Low Siew Choo, 57, Low Siew Tiong, 63, dan Low Siew Toh, 62, kerana masih menggunakan kaedah tradisional iaitu dibakar menggunakan dapur arang, membuatkan ia lebih beraroma.

Peniaga Kuih Kapit, Low Siew Lee, 65, sibuk menyiapkan tempahan kuih kapit ketika tinjauan Bernama sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan Pasar Simee baru-baru ini. Foto Bernama

Siew Lee berkata tempahan dibuka seawal dua bulan menjelang perayaan bagi memastikan cukup tempoh menghasilkan kuih yang berkualiti dan boleh disiapkan dalam masa dua atau tiga hari sebelum perayaan.

“Walaupun tahun ini tempahan agak perlahan iaitu kira-kira 1,000 balang berbanding lebih 2,000 balang pada tahun-tahun sebelumnya, tapi kami tetap meluangkan masa hingga dua bulan bagi menyiapkan tempahan untuk memastikan pelanggan mendapat kuih yang sama rasanya setiap tahun,” katanya ketika ditemui Bernama di premisnya di hadapan Pasar Simee di sini.

Anak ke-11 daripada 15 beradik itu berkata mereka akan memulakan proses membuat kuih seawal 4 pagi bermula daripada menyediakan bahan, membancuh adunan sehingga membakar, berterusan hingga 6 petang.

Siew Lee berkata untuk menghasilkan kuih yang teskturnya rangup, kelikatan adunan perlu tepat dan semasa perlu sentiasa memeriksa semasa proses membakar supaya masak dengan sempurna dan berwarna keemasan sekata.

Peniaga Kuih Kapit, Low Siew Lee, 65, sibuk menyiapkan tempahan kuih kapit ketika tinjauan Bernama sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan Pasar Simee baru-baru ini. Foto Bernama

Berkenaan penggunaan arang, Siew Lee berkata ia menjimatkan kos namun tidak dari segi masa berbanding penggunaan gas yang boleh membakar banyak kuih dalam satu masa.

“Semua orang pun suka makan ini biskut (kuih kapit). Mereka (pelanggan) kata kuih kapit kami wangi dan rasa lebih sedap sebab kami bakar menggunakan arang,” katanya sambil menambah bahan asas yang digunakan ialah tepung beras dan telur.

Kuih kapit yang dihasilkan mereka juga mampu bertahan sehingga hampir setahun jika disimpan dengan betul, menurut testimoni pelanggan.

Pelanggan bukan sahaja dari Perak malah ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur dan Singapura selain mereka yang tinggal di negeri lain yang mendapatkannya menerusi bantuan kenalan, saudara atau adik-beradik yang menetap di Ipoh untuk membuat tempahan.

Memulakan perniagaan dengan berkongsi modal, Siew Lee berkata peralatan juga hasil pemberian rakan-rakan yang mahu melihat perniagaan mereka berjaya.

Beliau berkata mereka tidak begitu agresif melakukan promosi sebaliknya pelanggan yang menguar-uarkan mengenai produk mereka sehingga cukup dikenali sekarang.

Kuih Kapit yang dihasilkan oleh lima beradik ketika tinjauan Bernama sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan Pasar Simee baru-baru ini. Foto Bernama

Bercerita lanjut, Siew Lee berkata kuih kapit antara kuih yang menjadi pilihan ketika Tahun Baharu Cina kerana digemari pelbagai bangsa mahupun peringkat usia.

Kuih kapit yang dijual dengan harga RM33 sebalang itu bukanlah satu-satunya produk dihasilkan lima beradik itu kerana mereka juga menghasilkan kuih biskut Indonesia yang menggunakan bahan asas antaranya tepung gandum dan telur serta kacang tanah.

Selain itu, dia bersama adik-beradiknya juga akan berniaga kuih dan buah-buahan di sekitar Ipoh di luar musim perayaan Tahun Baharu Cina. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan