Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
(Dari kiri) Ivan Yoyo, Mohd Faizal Mustafa (tengah), dan Mohamad Zulhaikal Laji (kanan), antara pelabur ASSAR yang ditemui TVS. Foto TVS

Belia lihat ASSAR sebagai platform kukuh untuk masa depan kewangan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 18 Jan: Golongan belia kini semakin menunjukkan minat mendalam bidang pelaburan, terutamanya bagi tujuan penjimatan dan perancangan kewangan jangka panjang.

Tinjauan TVS mendapati rata-rata belia berpendapat bahawa penglibatan dalam pelaburan seperti Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bukan sahaja membantu mereka merancang kewangan dengan lebih teratur tetapi juga menjadi langkah bijak untuk menjana pendapatan pasif melalui pengagihan dividen.

Ivan Yoyo, 21, melihat pelaburan dalam ASSAR sebagai langkah untuk mencapai kestabilan kewangan masa depan serta persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

“Tahniah kepada ASSAR kerana telah meringankan beban keluarga saya. Dividen yang meningkat setiap tahun memberikan semangat kepada saya untuk menyambung pelajaran.

“Terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha memperkukuh ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Faizal Mustafa, 24, turut berkongsi pandangan serupa dan menyifatkan bahawa dividen tersebut mampu menyokong perancangannya untuk menyambung pelajaran serta memenuhi keperluan asas.

“Sebagai individu berpendapatan minimum, dividen ini membantu saya menyambung pelajaran dan membeli peralatan seperti laptop dan printer. Saya berharap lebih ramai belia dan bumiputera melabur dengan ASSAR untuk menjamin masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Zulhaikal Laji, 24, percaya pengagihan dividen ini mampu menarik pelabur asing serta meningkatkan nilai aset Sarawak.

“Dengan kenaikan dividen ini, ia bukan sahaja menjana pendapatan negara tetapi juga meningkatkan minat pelabur dari luar. Sebagai rakyat Sarawak, saya berasa lebih yakin untuk terus melabur,” katanya.

Baru-baru ini, ASSAR telah mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit, melibatkan pembayaran RM14.23 juta kepada 57,653 pelabur berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2024.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut berbangga dengan prestasi konsisten ASSAR sejak penstrukturan semula pada penghujung tahun 2022. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan