MIRI, 18 Jan: Terminal Bas Miri Sentral kini beroperasi secara rasmi hari ini bagi menggantikan Terminal Bas Pujut, di sini.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata terminal itu menjadi ikonik baharu Bandaraya ini sekali gus simbol kemajuan infrastruktur pengangkutan awam di Miri.
“Selama bertahun-tahun, Terminal Bas Pujut telah banyak berjasa kepada kita. Namun, seiring dengan pertumbuhan Miri, kemudahan kita juga perlu berkembang untuk memenuhi keperluan komuniti yang semakin meningkat.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha kolaborasi antara Kerajaan Sarawak, Kementerian Pengangkutan Sarawak, dan Majlis Bandaraya Miri. Bersama-sama, kita telah mencipta sebuah kemudahan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pengangkutan masa kini tetapi juga menjangkakan keperluan masa depan,” katanya sempena majlis perasmian Terminal Bas Miri Sentral di sini, hari ini.

Adam Yii turut berharap agar terminal ini tidak hanya dilihat sebagai sebuah kemudahan pengangkutan, tetapi juga sebagai pusat keterhubungan dan aktiviti ekonomi.
“Saya berharap agar Terminal Bas Miri Sentral ini akan menjadi lebih daripada sekadar sebuah kemudahan pengangkutan. Ia harus berfungsi sebagai pintu masuk yang meningkatkan mobiliti untuk semua, memperbaiki perjalanan harian penduduk, dan mengalu-alukan pelawat untuk merasai keindahan dan keramahan Miri,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru pengguna terminal untuk menjaga kemudahan ini dengan bertanggungjawab, agar ia terus menjadi simbol kemajuan yang mencerminkan keprihatinan terhadap komuniti.
Untuk rekod terminal baharu ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden, termasuk 12 buah kaunter tiket, 12 buah kedai runcit, 14 buah platform bas, dua buah kafe, tandas mesra OKU, serta ruang menunggu yang luas dan selesa.
Terminal ini beroperasi setiap hari dari jam 5 pagi hingga 11 malam.
Selain menjadi pusat perkhidmatan bas jarak jauh dan tempatan, terminal ini juga berfungsi sebagai hab untuk perkhidmatan teksi dan e-hailing, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pengguna. – TVS