GELANG PATAH, 17 Jan: Johor terus mencatat nama sebagai destinasi utama pelancongan sukan melalui Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebuah mercu tanda moden yang bukan sahaja menjadi pusat bola sepak tetapi juga tarikan pelancongan unik.
Dengan reka bentuk canggih dan pelbagai kemudahan bertaraf dunia, SSI, yang terletak di Gelang Patah, merupakan simbol kebanggaan rakyat Johor, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut pemandu pelancong, Natalia Ho, SSI menggantikan Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, atau lebih dikenali sebagai Stadium Larkin, yang telah digunakan sejak tahun 1964.
Stadium ini dibina berdasarkan visi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, untuk memberikan pengalaman bola sepak moden dan selesa kepada peminat.
“Stadium ini, yang siap pada tahun 2020 dengan kos pembinaan RM200 juta dan kapasiti 40,000, kini menjadi ikon bola sepak tempatan dan antarabangsa,” kata Natalia.
“Stadium Sultan Ibrahim merupakan satu-satunya stadium bola sepak di Malaysia yang menawarkan pakej ‘Stadium Tour’ khas untuk peminat bola sepak. Mereka juga berpeluang menaiki kereta limosin mewah Hummer sebagai sebahagian daripada ‘JDT Hummer Tour.’
“Selain itu, SSI turut menawarkan pelbagai tarikan seperti Woodfire, Subway, KFC, Starbucks, IKEA Cafe, serta JDT Direct dan JDT x Skate Ice Rink, yang menjadi daya tarikan pengunjung untuk datang ke sini,” katanya ketika ditemui TVS hari ini selepas membawa kira-kira 100 pengamal media tempatan dan antarabangsa melawat stadium tersebut.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dirancang oleh Tourism Malaysia untuk delegasi The ASEAN Travel Exchange (TRAVEX) 2025 bersempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025.

Tambah Natalia, SSI turut menjadi tarikan global hasil kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah memenangi 10 kejuaraan Liga Super Malaysia berturut-turut dan menjulang Piala AFC pada tahun 2015.
“Peminat bola sepak dari negara seperti China dan United Kingdom sering mengunjungi stadium ini untuk melihat kehebatan pasukan JDT dan mendalami budaya bola sepak tempatan,” jelasnya lagi.
“SSI adalah produk pelancongan yang berpotensi besar untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi sukan bertaraf dunia. Pencapaian pasukan JDT menjadi inspirasi kepada ramai pelawat antarabangsa,” katanya.

Pakej ‘JDT Stadium Tour’ dibuka kepada orang ramai dari Jumaat hingga Ahad, termasuk cuti umum dan cuti sekolah, dengan harga RM60. Sementara itu, pakej ‘JDT Hummer Tour’ pula berharga RM30.
Sebagai simbol kebanggaan rakyat Johor, SSI bukan sahaja menawarkan pengalaman sukan luar biasa, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia di peta pelancongan antarabangsa.
Dengan keunikan dan daya tarikannya, stadium ini dijangka terus menjadi tarikan utama bagi pelawat domestik dan antarabangsa.