Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bersedia memainkan peranan dalam penyelesaian isu pembekalan tenaga, sekali gus menangani isu dan cabaran kelestarian. Foto Petronas

Petronas Gas lancar unit pemisahan udara berkuasa LNG pertama di Malaysia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Petronas Gas Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Regas Terminal (Pengerang) Sdn Bhd melancarkan unit pemisahan udara (ASU) berkuasa gas asli cecair (LNG) pertama di Malaysia di Pengerang, Johor.

Syarikat itu juga menjemput Dialog Group Bhd untuk mengambil bahagian dengan memperoleh kepentingan sebanyak 27.78 peratus.

Petronas Gas berkata pelancaran ASU tersebut menandakan satu kemajuan teknologi penting dalam tenaga lestari.

“Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek ini diperoleh pada Disember 2023 dengan sasaran tarikh operasi komersial pada November 2026.

“Jumlah kos perolehan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) yang diberikan sebanyak RM368 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Petronas Gas berkata projek ini menekankan peranannya dalam memajukan tanggungjawab alam sekitar dan kemajuan teknologi.

Katanya, ia selaras dengan objektif pertumbuhan kumpulan selain memacu keuntungan sambil meneruskan komitmennya terhadap kelestarian sebagai tiang utama dalam strategi korporat jangka panjangnya.

“Dialog Group Bhd dijemput untuk mengambil bahagian dalam projek ini kerana lokasi projek di plot Terminal Laut Dalam Pengerang dan dengan itu, Dialog Equity (Three) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Dialog Group, akan melanggan kepentingan ekuiti sebanyak 27.78 peratus dalam Regas Terminal,” katanya.

Regas Terminal telah menandatangani dan menyelesaikan perjanjian langganan saham dengan Dialog Equity yang akan melanggan 500 saham biasa dengan nilai RM500,000 dan 9,724 saham keutamaan boleh ditebus dengan nilai RM9.7 juta.

Projek ini akan dibangunkan berdasarkan model reka bentuk, bina dan sewa (DBL) apabila ASU akan dibina selain disewakan kepada pengendali pasaran gas industri yang berkelayakan serta berpengalaman untuk tempoh 25 tahun.

Sepanjang tempoh ini, katanya, pengendali akan memikul tanggungjawab untuk operasi, penyelenggaraan dan pemasaran gas industri yang dihasilkan oleh ASU, sementara sebagai balasan, Regas Terminal akan menjana aliran pendapatan yang konsisten melalui caj fasiliti bulanan tetap yang dibayar oleh pengendali.

“Projek ini dijangka mengurangkan penggunaan elektrik kira-kira 25 peratus dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 15,000 tan metrik setiap tahun berbanding dengan loji ASU tradisional.

“Usaha sama yang dicadangkan ini selaras dengan satu daripada cita-cita utama Petronas Gas dalam Pelan Induk Kelestarian mereka iaitu meningkatkan keuntungan melalui pelaburan lestari baharu,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan