Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Peninju Profesional Negara, Farkhan Haron ketika sidang media bagi Kejohanan Tinju "Johor International Boxing Championship 2025" yang akan berlangsung di Arena Larkin Indoor Stadium, Johor Bahru pada 16 Februari ini. Foto Bernama

Muhamad Farkhan tekad pertahan gelaran juara Asia WBC sebelum bersara

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Petinju profesional negara Muhamad Farkhan Mohd Haron bertekad mempertahankan gelaran juara Asia bagi kelas bridgerweight Majlis Tinju Dunia (WBC) pada Kejohanan Antarabangsa Tinju Johor (JIBC) 2025, 16 Feb ini.

Muhamad Farkhan, 36, yang diberi nama julukan The Southern Tiger berkata beliau sudah bersedia untuk bertarung dengan Jaskaran Singh dari India demi mengekalkan rekod sempurna dengan 13 kemenangan tanpa kalah, sekali gus menutup tirai karier tinjunya selepas dua dekad membawa cabaran negara.

“Memang benar, ‘api kemarahan’ penting untuk mencapai kemenangan tetapi kita tidak boleh terlalu dikuasai emosi. Kita perlu keseimbangan 50-50 ketika berada dalam gelanggang.

“Jangan terlalu yakin kerana ia boleh menjadi musuh dalam selimut. Sebab itu, tiga hingga lima hari sebelum bertanding, saya tidak keluar bertemu sesiapa, termasuk keluarga untuk menjaga kestabilan emosi,” katanya kepada pemberita selepas sidang media JIBC 2025 di sini hari ini.

Muhamad Farkhan percaya meskipun Jaskaran masih muda dan memiliki kelebihan dari segi ketinggian, pengalaman dan pengorbanannya selama 24 tahun dalam sukan tinju memberikan keyakinan untuk sekali lagi melakar kejutan.

Muhamad Farkhan yang berkongsi perjalanan kariernya berkata beliau mula mencipta nama dalam arena tinju antarabangsa pada usia 16 tahun ketika membawa pulang pingat perak di New Delhi, India bermula dengan kategori lightweight sebelum beralih ke kategori heavyweight dan cruiserweight.

Beliau yang menjadikan Prince Naseem Hamed sebagai idola turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara atas sokongan berterusan sepanjang bergelar atlet negara dan kini menjadi atlet profesional untuk melakar nama di persada antarabangsa.

“Bapa saya juga menjadi inspirasi terbesar saya. Ketika berusia 16 tahun, beliau meminta saya ke Indonesia bersendirian untuk menyertai kejohanan. Pengalaman itu membentuk siapa saya hari ini,” katanya.

JIBC 2025 merupakan kejohanan tinju bertaraf antarabangsa hasil kerjasama Kerajaan Negeri Johor, FH Promotions dan Persatuan Tinju Johor dengan Persekutuan Tinju Profesional Malaysia dan Majlis Tinju Dunia sebagai badan yang memberi kelulusan.

Sebanyak lima perlawanan berprofil tinggi akan berlangsung melibatkan penyertaan lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Syria, Singapura dan Afrika Selatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan