MARUDI, 17 Jan: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak 20 projek infrastruktur bernilai RM616 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk daerah Marudi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan telah diamanahkan dengan bajet pembangunan terbesar dalam sejarah Sarawak, berjumlah RM1.31 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding tahun 2024.
“Marudi juga tidak dilupakan oleh YAB Premier. Beliau sentiasa memerhati seluruh negeri Sarawak, melihat kawasan mana yang masih memerlukan pembangunan. Begitu juga dengan wakil rakyat di kawasan ini, mereka sangat aktif membangunkan kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Marudi yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Uggah menjelaskan bahawa daripada jumlah RM616 juta tersebut, sebanyak RM548 juta diperuntukkan untuk 19 projek rakyat, manakala satu lagi projek bernilai RM68 juta.
Daripada jumlah itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan enam projek bernilai RM187.7 juta.
Satu projek lagi sedang dalam pembinaan, sementara baki 13 projek bernilai RM422.3 juta akan ditender pada tahun ini.