KUALA LUMPUR, 17 Jan: Batik Air melancarkan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan baharu berkenaan menyerlahkan komitmen berterusan syarikat penerbangan itu untuk mengembangkan rangkaian dan menyediakan penumpang dengan pilihan perjalanan yang boleh dipercayai.
“Kami berbesar hati untuk menyumbang kepada kemajuan pelancongan dan sektor penerbangan di Malaysia.
“Batik Air terus mengembangkan perkhidmatan di seluruh Malaysia Timur namun sebenarnya, kami tidak hanya meningkatkan kesalinghubungan tetapi juga menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau ini,” katanya menerusi kenyataan media selepas pelancaran laluan berkenaan.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk P. Manoharan dan Timbalan Pengarah Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Nadia Hanim Muhamad @ Mansor.
Penerangan harian baharu ini merupakan destinasi ketiga Batik Air dari Subang selepas pengenalan laluan ke Pulau Pinang dan Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Chandran berkata, syarikat komited menyediakan pengembara dengan alternatif yang lancar untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di samping menyediakan akses mudah ke Sabah.
Sementara itu Monoharan berkata, pihaknya teruja dengan kemampuan Batik Air mengembangkan perkhidmatan yang dilihat sejajar dengan visi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Inisiatif ini tepat pada masanya dan mengukuhkan kebolehcapaian destinasi menarik di Malaysia Timur dan seterusnya memastikan lebih ramai pengunjung dapat menikmati kekayaan budaya,
warisan dan keajaiban alam semula jadi di Sabah,” katanya. – TVS.