KUCHING, 17 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan Amanah Saham Sarawak (ASSAR) agar merebut lebih banyak peluang pelaburan, terutama dalam sektor strategik yang sedang berkembang pesat.
Beliau berkata, tumpuan Sarawak terhadap tenaga hijau telah menarik minat pelabur dari negara luar seperti Jepun dan Korea Selatan untuk melabur di wilayah ini.
“Pendekatan kita (Sarawak) adalah untuk kita seimbang dalam pelaburan iaitu instrumen tetap serta ekuiti. Saya percaya dengan pelaburan yang datang dan keperluan dana melalui bon atau sukuk, maka ada ruang untuk kita mengambil bahagian dalam pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Dividen Interim ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, peluang pelaburan dalam pasaran bon dan instrumen tetap menawarkan pulangan stabil, berbeza dengan ekuiti yang terdedah kepada turun naik pasaran.
“Pulangan tetap ini akan dilaburkan dalam instrumen kewangan, manakala ekuiti sangat dipengaruhi oleh volatiliti pasaran.
“Oleh itu, adalah penting untuk ASSAR bekerjasama dengan pengurus dana bagi meningkatkan portfolio instrumen tetap, sekali gus memberikan pulangan yang stabil kepada kita,” katanya.
Abang Johari turut menyentuh tentang minat pelabur asing, khususnya dari Jepun, dalam ekonomi hidrogen.
“Terdapat banyak pelabur yang berminat melabur dalam tenaga hijau yang mempunyai potensi jangka panjang. Sebagai contoh, Jepun akan bersama-sama kita dalam ekonomi hidrogen.
“Mereka juga mempunyai institusi kewangan mereka sendiri, termasuk Bank of Japan yang akan mengumpul dana bagi tujuan ini,” jelasnya.