LOS ANGELES, 17 Jan: Kebakaran besar di sekitar kawasan Los Angeles, selatan California, Amerika Syarikat (AS) meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa dan memusnahkan lebih 12,300 struktur dalam tempoh lebih seminggu, disahkan pihak berkuasa tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.
Anggota bomba membuat kemajuan pada Khamis dengan memadamkan dua kebakaran utama di Los Angeles apabila tiupan angin berkurangan di kawasan tersebut.
Kebakaran Palisades, antara kebakaran terbesar yang masih aktif di kawasan Los Angeles meliputi 95.96 kilometer persegi (23,713 ekar) setakat ini. Kebakaran yang bermula 7 Jan itu kini terkawal sebanyak 22 peratus, berbanding 17 peratus sehari sebelumnya.
“Keadaan cuaca kembali normal bermusim dan kebakaran dijangka kekal dalam perimeter sedia ada tanpa kebakaran lain,” menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire) dalam kemas kini pada Khamis.
“Pasukan bomba terus mengawal garisan kebakaran, mencari dan memadamkan kawasan panas serta membina garisan kawalan untuk mengehadkan kerosakan struktur lanjut di kawasan yang masih berisiko,” kata Cal Fire.
Kebakaran aktif utama yang lain, Kebakaran Eaton meliputi 57.1 km persegi (14,117 ekar) berhampiran Altadena dan Pasadena. Kawalan kebakaran ini meningkat kepada 55 peratus, berbanding 45 peratus sehari sebelumnya.
Angin yang lebih tenang pada waktu malam dan awal pagi mengurangkan aktiviti kebakaran, membolehkan anggota bomba membuat kemajuan yang baik dalam memastikan garisan kawalan, menurut Cal Fire.
Tetapi agensi itu menjelaskan bahawa dengan kembalinya angin Santa Ana pada hari Isnin, keadaan cuaca kebakaran kritikal yang meluas masih berlaku di beberapa bahagian California Selatan.
“Kami berharap dapat meredakan kebimbangan mengenai kebakaran untuk menutup minggu ini,” menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, yang sebelum ini mengeluarkan amaran “situasi sangat berbahaya” awal minggu ini.
“Minggu depan adalah satu kebimbangan. Walaupun kami yakin, kita tidak akan melihat pengulangan minggu lepas, kebakaran yang berbahaya dijangka berlaku,” menurut agensi itu. – TVS