SHAH ALAM, 16 Jan: Seorang wanita terpaksa menanggung kerugian lebih RM2 juta akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang disertainya selepas melihat iklan yang dipaparkan di Facebook pada Ogos tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 46 tahun itu menyedari dirinya telah ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan selepas membuat 31 transaksi pembayaran kepada 11 akaun bank dan tiga akaun crypto.
“Setelah semua transaksi dibuat, pengadu tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan setelah memasukkan wang tersebut.
“Pengadu berasa ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM 2,219,217.83,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan tawaran pelaburan di platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah. – TVS