BINTANGOR, 16 Jan: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) giat menjalankan kajian untuk menghasilkan benih padi hibrid yang sesuai ditanam di wilayah ini.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit usaha yang dilaksanakan oleh UNIMAS berkenaan berupaya membantu Sarawak meningkatkan pengeluaran beras berkualiti.
“Di peringkat UNIMAS, kami dalam usaha menanam padi untuk melihat kesesuaian benihnya untuk ditanam di sini. Pada masa sama, kami melihat sama ada benih hibrid ini boleh menghasilkan kualiti seperti di China.
“Kajian analitik ini membolehkan kita tahu varieti yang boleh dihibridkan dengan benih padi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Majlis Penuaian Padi Hibrid dan Perasmian Kilang Onemas Agriculture Sdn Bhd pada Khamis.
Pada majlis tersebut, UNIMAS dan Onemas Agriculture Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama menghasilkan benih padi hibrid dan sistem penanaman yang diusahakan di ladang Sungai Padi, Meradong.
Dalam pada itu, keberhasilan kajian tersebut berupaya membantu mencapai hasrat kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kadar sara diri dan mengurangkan kebergantungan kepada import beras luar.
“Kalau kita dapat tanam dengan skala yang lebih besar, mungkin dua atau tiga tahun kita boleh jadi pembekal beras bukan sahaja kegunaan di wilayah ini bahkan untuk negara luar.
“Penting adanya benih padi yang baik ialah kita boleh kongsikan dengan masyarakat tempatan. Mereka boleh mendapatkan hasil yang lebih lumayan berbanding apa yang ada pada masa kini,” ujar Hata.
Selain benih padi yang berkualiti, penggunaan teknologi baharu juga turut menjadi elemen penting dalam menambahkan pengeluaran padi.
Sementara itu, seorang petani, Daya Anak Kelukut, 58 tahun ketika ditemuai TVS menyatakan harapan agar golongan petani khususnya dari rumah panjang dibekalkan dengan benih padi hibrid yang berkualiti seperti yang diusahakan di ladang Onemas Agriculture Sdn Bhd.

“Padi ini memang bagus jika dibandingkan dengan yang kami tanam sebelum ini kerana ianya boleh ditanam dan dapat dituai tiga kali setahun.
“Adalah menjadi harapan saya sekiranya ada pihak yang membekalkan kami dengan benih padi yang sama seperti ini.
“Saya harap mereka (pihak berkaitan) dapat mempertimbangkan untuk memberikan kepada kami yang berada di rumah panjang ini benih padi yang sama,” katanya.
Sementara itu, Dari Kelukut, 55 tahun yang juga merupakan seorang petani memaklumkan beliau bersedia untuk beradaptasi dengan teknologi moden dan baharu sekiranya berkesempatan.
“Saya sedia mencuba (menggunakan teknologi baharu) mengikut arus pembangunan semasa.
“Saya sememangnya suka melihat padi (hibrid) ini sebab ianya rendah (pohon) jika dibandingkan dengan padi yang kita usahakan. Jadi ianya tidak mudah tumbang sebab padi sedia ada ketika ini mudah tumbang kerana ketinggiannya.” -TVS