BETONG, 16 Jan: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat perhatian dan semakin relevan dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada kepakaran praktikal, TVET menjadi pilihan bijak bagi pelajar yang ingin membina kerjaya kukuh dan berdaya saing.
Beberapa pelajar yang ditemui TVS pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Kolej Vokasional Betong 2024 hari ini beranggapan TVET memberi mereka kelebihan dan bukan hanya sekadar sijil akademik.
Pelajar Jurusan Diplome Teknologi Kimpalan, Noraziz Zainal berkata, minat yang mendalam membuatkannya melanjutkan pelajaran berasaskan TVET.
“Melalui praktikal, saya dapat belajar banyak perkara, seperti cara membina struktur bangunan dan mengendalikan mesin. Banyak pengalaman yang saya peroleh dalam bidang ini,” katanya.
Mohammad yang sebelum ini berminat dengan bidang offshore turut menyedari TVET memberi peluang untuk berkembang dalam banyak cabang kerjaya termasuk pendidikan.
Pelajar Diploma Perakaunan, Crosby Melvyna Saimi juga melihat kelebihan besar dalam pendidikan TVET.
“Saya akan menjalani latihan on thejob pada 7 April hingga 22 Ogos ini dan selepas itu saya akan menyambung pelajaran saya. Sebelum menerima tawaran, saya akan bekerja dahulu dalam bidang saya untuk mengasah kemahiran,” ujarnya.
Crosby percaya pengalaman bekerja dalam industri adalah sangat penting untuk memperkukuhkan kemahiran teknikal yang diperlukan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Bagi Nur Izzah Hazirah Iswandi pula, TVET memberi kelebihan besar kepada pelajar dalam bidang perakaunan dan sektor lain.
“Bidang akaun kini mempunyai peluang yang sangat tinggi di pasaran dan lebih mudah untuk kita menyambung pelajaran di peringkat universiti,” ujarnya.
Nur Izzah berkata, dia bersedia dan berusaha dari awal sangat penting untuk mengukuhkan potensi serta memahami pelajaran agar lebih mudah melangkah ke dunia pekerjaan.-TVS