KUALA LUMPUR, 16 Jan: Sejumlah RM12 bilion diperuntukkan kerajaan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk perolehan peralatan canggih bagi menangani keperluan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan yang diluluskan tahun ini melibatkan Howitzer Pek 105mm untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) serta Peluru Berpandu Permukaan ke Permukaan (SSM) untuk KD Jebat dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Tambah beliau MINDEF juga berhasrat untuk mendapatkan tiga unit Sistem Udara Tanpa Pemandu Tahanan Ketinggian Sederhana Panjang (MALE UAS) yang akan dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM).
“Peruntukan ini memperlihatkan komitmen kami (MINDEF) untuk memastikan ATM diperlengkapkan untuk bertindak balas secara berkesan kepada cabaran pertahanan yang berkembang,” katanya pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Goriman Khan dan Panglima TDM Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan memantau perkembangan dan kemajuan pembinaan aset-aset penting bagi memastikan ia mencapai kemajuan seperti yang dijadualkan termasuk kapal tempur pesisir (LCS).
“LCS1 telah memulakan Ujian Penerimaan Pelabuhan (HAT) dan Ujian Penerimaan Laut (SAT) dengan kemajuan persiapan mencapai 96.52 peratus.
“LCS2, LCS3, LCS4 dan LCS5, masing-masing dijangka mencapai 86.61 peratus, 76.60 peratus, 65.05 peratus dan 48.72 peratus kemajuan.
“Manakala bagi LCS2. ia telah diturunkan ke air dan sedang menjalani Setting To Work (STW). Bagi LCS3 pula sedang dalam persiapan akhir untuk diturunkan ke air yang dirancang pada Januari 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Khaled turut memberitahu, pembinaan Kapal Misi Littoral (LMS) kedua juga berjalan lancar.
Untuk rekod, pada tahun ini MINDEF menerima peningkatan peruntukan daripada RM19.73 bilion pada 2024 kepada RM21.13 bilion. – TVS