KUCHING, 16 Jan: Polis hari ini menahan seorang lelaki berhubung kes khianat harta benda dan khianat api yang berlaku di kawasan sebuah kawasan perumahan di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata tangkapan terhadap lelaki tempatan berumur 44 tahun itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Gita hasil maklumat risikan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek memecahkan cermin dua kereta menggunakan batu dan pasu bunga sekitar jam 2.00 hingga 2.30 pagi.
“Suspek turut disiasat berhubung kes khianat api yang berlaku di kawasan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Farhan turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai juga boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Logeswara Tharumalay @ Krishnan di talian 018-2914239.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertindak di luar batasan undang-undang,” katanya.