BETONG, 16 Jan: Peningkatan kualiti pengajaran dalam kalangan pendidik menjadi elemen utama untuk memastikan kejayaan pendidikan vokasional, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan, guru yang berpengetahuan luas dan berpengalaman mampu menginspirasi pelajar untuk mengejar cita-cita mereka dan memberi keyakinan bahawa mereka boleh berjaya dalam bidang yang dipilih.
“Kita mahu guru vokasional setanding dengan warga pendidik lain di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia kerana anak-anak itu ibarat span, mereka menyerap apa yang mereka lihat dan dengar.
“Oleh itu, saya memohon agar guru vokasional diberi latihan untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka supaya kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional tidak akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Kolej Vokasional Betong Tahun 2024 di Kolej Vokasional Betong, hari ini.
Dalam pada itu, Gerald Rentap turut menyampaikan sumbangan menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM35,000.
Menurutnya, RM25,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan RM10,000 bagi membiayai aktiviti kelab rekreasi guru dan kakitangan KV Betong.
Beliau menegaskan sumbangan itu sebagai tanda sokongan dalam memperkasakan sektor pendidikan vokasional di negeri ini.
Sumbangan itu adalah untuk mempertingkatkan kemudahan dan infrastruktur di kolej berkenaan, serta menyediakan peluang yang lebih baik bagi pelajar dalam menjalani pembelajaran praktikal dan teori.
“Saya sungguh bangga dengan pencapaian KV Betong, teruskan kejayaan ini,” katanya.
Majlis Apresiasi & Kecemerlangan Kolej Vokasional Betong Tahun 2024 menyaksikan seramai 243 pelajar menerima pelbagai anugerah iaitu Anugerah Pelajar Terbaik Semester, Anugerah Pelajar Terbaik Program, Anugerah Graduan Terbaik bagi Kohort 2022, Anugerah Pencapaian A+ Bahasa Melayu Setara, Anugerah Kokurikulum, Anugerah Ketua Jabatan, Anugerah Aspirasi Guru dan Anugerah Pengarah. – TVS