MIRI, 16 Jan: Seramai 8,000 perserta dijangka menyertai Miri Marathon 2025 yang bakal berlangsung pada 13 April.
Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelari tempatan dan antarabangsa bersaing tetapi diiktiraf sebagai perlumbaan kelayakan untuk Kejohanan Dunia Abbott World Marathon Majors (AbbottWMM).
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Miri Maraton 2025 akan mempromosikan kesihatan melalui sukan dan memperkenalkan Miri sebagai destinasi pelancongan.
“Acara ini juga akan menonjolkan keindahan Miri dengan laluan yang merangkumi mercu tanda utama, taman dan pantai. Dengan jumlah sasaran peserta sebanyak 8,000 orang dari 40 negara, ia dijangka memberi impak besar kepada pelancongan dan ekonomi Miri,” katanya pada sidang media Miri Marathon 2025 di Mercure Hotel di sini, hari ini.
Miri Marathon 2025 akan menawarkan empat kategori iaitu 42km Full Marathon, 21km Half Marathon, 10km Speed Run, dan 5km Fun Run.
Menurut Sebastian, selain memberi impak dalam aspek kesihatan, acara ini bertujuan untuk memacu ekonomi tempatan dan memperkenalkan Miri di mata dunia.
“Maraton ini dijangka menarik pelancong dari seluruh dunia, memberi peluang kepada Miri untuk mempamerkan keindahan semula jadi, mercu tanda utama, dan keramahan bandar ini.
“Dengan peningkatan jumlah pelawat, perkhidmatan hospitaliti, makanan dan pengangkutan akan menerima lonjakan permintaan, sekali gus merangsang ekonomi tempatan,” ujarnya.
Miri Marathon 2025 dijangka akan menarik peserta dari negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia, United Kingdom, China, Kenya, Korea Selatan dan banyak lagi.
Acara tersebut diiktiraf sebagai sebahagian daripada kalendar maraton antarabangsa dan akan menjadi tumpuan bagi atlet berprestij.
Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang turut memberi sokongan penuh terhadap penganjuran acara tersebut.
“Selama beberapa tahun kebelakangan ini, Kementerian Pelancongan telah memperuntukkan dana yang besar kepada banyak aktiviti termasuk Miri Marathon yang menghasilkan impak positif kepada ekonomi tempatan.
“Maraton ini adalah acara penting untuk mempromosikan pelancongan di Miri dan meningkatkan kedudukan bandar ini sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa,” jelasnya. -TVS