Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk P. Manoharan berkata kepelbagaian kaum jadi tarikan utama Tahun Melawat Malaysia 2026. Foto Jazni Hanif (TVS)

Kepelbagaian kaum jadi tarikan utama Tahun Melawat Malaysia 2026

ByMuqri Aziz

JOHOR BAHRU, 16 Jan: Kepelbagaian kaum dan keharmonian masyarakat di Malaysia menjadi salah satu keunikan utama yang akan diketengahkan kepada pelancong antarabangsa dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P. Manoharan berkata, keunikan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia merupakan Unique Selling Point (USP) yang mampu membezakan negara ini daripada destinasi pelancongan lain khususnya di rantau ASEAN.

“Diversiti masyarakat Malaysia merupakan salah satu aspek paling penting yang kita mahu tonjolkan kepada negara-negara ASEAN.

“Jika kita lihat, kebanyakan negara ASEAN hanya mempunyai satu kaum yang dominan tetapi di Malaysia kita ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai lagi kaum yang hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Malaysia pada Sesi Taklimat Media NTO bersempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 di Johor Persada International Convention Centre di sini, hari ini.

Menurut Manoharan, tarikan seperti pantai, makanan dan kebudayaan di negara-negara ASEAN serupa namun Malaysia mempunyai kelebihan dengan menonjolkan keharmonian dan keunikan interaksi antara pelbagai kaum.

“Kalau datang ke Malaysia, pelancong tidak perlu pergi ke China, India atau tempat-tempat lain kerana keunikan budaya dan pengalaman dari pelbagai komuniti boleh dirasai di sini.

“Sebab itu, kami masih mengekalkan tagline Malaysia Truly Asia, kerana ia benar-benar mencerminkan identiti negara kita,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan lebih 70 peratus pengusaha industri pelancongan di Malaysia bersedia dengan tarikan baharu dan menarik bagi menyambut kedatangan pelancong terutama dari negara ASEAN.

“Malaysia sudah bersiap sedia dengan pelbagai penawaran pelancongan yang menarik dan kami optimis VM2026 akan menjadi platform terbaik untuk mempromosikan kepelbagaian dan keharmonian yang menjadi kekuatan negara ini,” jelasnya.

Kempen VM2026 juga selaras dengan usaha untuk meningkatkan pelancongan berkualiti tinggi dengan mempromosikan pengalaman unik yang mencerminkan keharmonian budaya serta kekayaan warisan negara sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama di peringkat global. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan