JOHOR BAHRU, 16 Jan: Kerajaan Indonesia berusaha mengaktifkan semula laluan penerbangan antarabangsa yang dihentikan akibat pandemik COVID-19 sejak lima tahun lalu, termasuk laluan Kuching – Pontianak.
Timbalan Menteri Pemasaran di Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Ni Made Ayu Marthini, berkata perkara itu bakal dipergiatkan selepas beberapa pemimpin tempatan dan pemimpin di Kalimantan Barat (KALBAR) menyuarakan hasrat agar laluan itu dibuka semula.
“Walau bagaimanapun, saya telah berbincang dengan syarikat penerbangan Indonesia seperti Garuda Indonesia. Antara faktor utama yang menyukarkan pembukaan semula laluan penerbangan ialah kekurangan pesawat, dan ini bukan sesuatu yang mudah untuk diatasi.
“Keputusan bergantung kepada syarikat penerbangan sama ada mereka melihat laluan ini menguntungkan atau tidak. Jika terdapat permintaan tinggi, laluan tersebut akan dibuka semula,” katanya pada sesi soal jawab semasa Sesi Taklimat Media NTO bersempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 di Johor Persada International Convention Centre di sini, hari ini.
Meskipun keputusan banyak bergantung kepada syarikat penerbangan, beliau bersama kementeriannya akan terus berusaha mengaktifkan semula laluan penerbangan yang terhenti akibat pandemik.
Beliau yakin dengan kerjasama erat dengan kementerian yang terlibat serta Kerajaan Sarawak dan Provinsi Kalimantan Barat, laluan itu dapat kembali beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat. – TVS