SIBU, 16 Jan: Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) diberi peluang kedua untuk meningkatkan kemahiran dan pendapatan melalui Program Latihan Madani 2025 yang dianjurkan Kenyalang Skills Center di Pusat Bandar Sibu.
Program tersebut adalah hasil kerjasama dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDC), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Methodist Care Center Sibu berlangsung dari 15 hingga 17 Januari 2025 di Hall, Agape Center, Sibu.
“Seramai 25 peserta OKU telah mengambil bahagian dalam program ini, yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mereka dan membuka peluang pendapatan baharu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, Human Resource Development Corporation (HRDC) dengan kerjasama Kenyalang Skills Center Sdn Bhd berjaya menganjurkan Program Latihan Madani 2025 bertemakan Mothercare & Beauty: Post Natal (Package Service & Home SPA).
Kerjasama strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini.
Selain itu, beberapa organisasi komuniti di bawah JKMS terlibat secara langsung termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Murni Dudong, Sibujaya, Pusat Pemulihan Permai, Pusat Pemulihan Nur Qaseh dan Methodist.
“Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan pendapatan peserta dalam bidang penjagaan ibu selepas bersalin dan perkhidmatan spa di rumah.
“Selain itu, program ini juga membuka peluang penambahan pendapatan melalui kemahiran baharu yang diperoleh serta menawarkan pelbagai aktiviti tambah nilai, termasuk sesi praktikal dan latihan intensif,” jelas kenyataan tersebut. – TVS