Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Wabak disyaki virus Marburg di Tanzania menjangkiti sembilan individu dan mengakibatkan lapan kematian setakat ini. Foto hiasan Envato

Wabak disyaki virus Marburg ragut lapan nyawa di Tanzania – WHO

ByBernama

GENEVA, 15 Jan: Wabak disyaki virus Marburg di Tanzania menjangkiti sembilan individu dan mengakibatkan lapan kematian setakat ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Perkembangan ini berlaku sebulan selepas negara jiran, Rwanda diisytiharkan bebas daripada jangkitan virus berbahaya itu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Menurut kemas kini WHO yang dikeluarkan lewat Selasa, punca wabak di wilayah Kagera, barat laut Tanzania masih belum dikenal pasti.

Virus itu sering dikaitkan dengan kelawar buah sebagai pembawa.

Pesakit yang dijangkiti menunjukkan gejala seperti demam tinggi, cirit-birit, muntah berdarah, lemah tubuh badan, dan pendarahan pada peringkat seterusnya.

WHO percaya virus itu masih merebak dan menilai risiko di peringkat nasional sebagai “tinggi”, namun risiko global dianggap “rendah” setakat ini.

“Tiada penyebaran antarabangsa yang disahkan setakat ini, walaupun terdapat kebimbangan terhadap potensi risiko,” menurut WHO.

Patogen ini dinamakan sempena bandar Marburg di Jerman, di mana pekerja makmal dijangkiti virus yang tidak diketahui sebelum ini daripada eksperimen ke atas monyet pada 1967.

Menurut WHO, tiada vaksin atau rawatan antivirus untuk virus ini.

Statistik menunjukkan kadar kematian antara 24 hingga 88 peratus bagi wabak terdahulu.

WHO juga melaporkan bahawa sebanyak 66 kes Marburg dilaporkan di Rwanda tahun lalu, dengan 15 kematian. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan