KUALA LUMPUR, 15 Jan: Sektor penerbangan negara dijangka mengalami pertumbuhan ketara pada tahun ini dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meramalkan trafik penumpang udara Malaysia akan mencapai antara 105.8 juta dan 112.9 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata buat kali pertama sejak pandemik COVID-19, jumlah penumpang udara dijangka melebihi rekod sebelumnya yang dicatatkan pada 2019 iaitu 109.3 juta.
Jelas beliau ia mewakili pertumbuhan antara 8.4 peratus hingga 15.6 peratus tahun ke tahun.
“Pertumbuhan ini dijangka didorong oleh penambahan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan, peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa dan peningkatan keseluruhan pendapatan isi rumah.
“Syarikat penerbangan juga dijangka akan meningkatkan kapasiti sebanyak 15.8 peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam perjalanan domestik yang diramalkan meningkat sebanyak 21.1 peratus tahun-ke-tahun dengan tiga rantau teratas yang dijangka mengalami pertumbuhan kapasiti tempat duduk dari Malaysia adalah Afrika, Eropah dan Asia Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media media mengenai prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia 2024 dan unjuran pada 2025 di sini hari ini.
Sementara itu beliau memaklumkan trafik penumpang udara Malaysia pada tahun lepas merekodkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus dengan mencapai sejumlah 97.1 juta penumpang.
Jelas beliau prestasi itu selaras dengan unjuran MAVCOM iaitu antara 95.4 hingga 97.6 juta penumpang.
Pencapaian berkenaan katanya mewakili 89 peratus berbanding sebelum pandemik pada 2019 yang merekodkan 109.3 juta penumpang.
“Pada tahun lepas, peningkatan trafik penumpang didorong oleh segmen penumpang dari negara – negara ASEAN dan antarabangsa dengan masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 19.8 peratus dan 38.9 peratus.
“Bagi segmen penumpang domestik pula, ia turut mencatat pertumbuhan sebanyak 2.2% peratus,”katanya.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, pertumbuhan disumbangkan oleh beberapa faktor utama termasuk penambahan kapasiti tempat duduk yang disediakan oleh syarikat penerbangan.
“(Selain itu ia juga berikutan polisi) pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India serta peningkatan kesalinghubungan ke destinasi utama seperti China, India, Indonesia, Korea Selatan, Australia, dan negara-negara.
“Pada 2024 juga menyaksikan syarikat penerbangan melancarkan laluan udara baharu termasuk ke Kazakhstan dan Kenya,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan, kesemua lapangan terbang utama di Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahun-ke-tahun bagi penumpang antarabangsa pada tahun lepas dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebanyak 20.9 peratus dan diikuti  Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebanyak 13.1 peratus.
“(Peningkatan juga direkodkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebanyak 12.8 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebanyak 11.3 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (1.8 peratus) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada kadar 1.0 peratus,” katanya. -TVS.